Sunday, December 21, 2008

ujian kecerdasan minda di kmc

sepanjang cuti sekolah ini, saya menerima banyak permintaan dan pertanyaan mengenai ujian kecerdasan minda atau iq test yang dijalankan di kmc.
secara umumnya , ujian ini dijalankan ke atas kanak-kanak yang berumur 6 tahun ke atas terutama mereka yang mengalami masalah
1. kesukaran untuk menumpukan perhatian dalam pelajaran
2. perkembangan yang lambat
3. masalah pertuturan atau lambat bercakap
4. pencapaian yang lemah walau pun telah puas berusaha
dan lain-lain.
apa yang penting ialah untuk menentukan masalah yang mereka alami adalah bersifat global atau specifik. ertinya adakah kanak-kanak ini lemah secara keseluruhan atau hanya pada masalah tertentu sahaja - seperti masalah bahasa / pertuturan.
kita juga harus menentukan sama ada kanak-kanak tersebut sihat dari segi fizikal khususnya pendengaran dan penglihatan.
ujian kecerdasan minda juga dapat membantu menentukan ke arah bentuk rawatan yang perlu diberikan.
sila hubungi saya jika terdapat lain-lain kemusykilan
terima kasih.

Wednesday, December 10, 2008

pengerusi jawatankuasa pendidikan perubatan di kmc

hari ini cukup bersejarah buat saya kerana telah dilantik menjadi pengerusi jawatankuasa pendidikan perubatan di kmc. terima kasih yang tidak terhingga kepada pengarah perubatan kmc iaitu dr ismail di atas kepercayaan yang telah diberikan. insya Allah, saya akan berusaha untuk menjalankan amanah yang diberikan itu dengan sebaik mungkin.

Monday, December 8, 2008

Perancangan 2009

sekali lagi saya memohon maaf kerana telah lama tidak mengemaskini blog ini. mungkin kerana terlalu sibuk dengan pelbagai aktiviti lain.
namun saya berharap sekarang perancangan masa boleh diperbaiki. semua orang ada 24 jam dalam sehari. cuma cara kita menggunakannya akan menentukan sejauh manakah keberkesanan dan keberkatan hidup kita.
untuk tahun 2009, saya telah mula merancang beberapa perubahan dalam memberikan khidmat kepada pesakit dan klien saya. maklumat pendidikan melalui blog ini akan dimulakan kembali secepat mungkin. manakala ceramah kesihatan akan bermula january 2009.
sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi saya dengan menggunakan sms atau e-mail seperti yang tertera dalam blog ini.

terima kasih.

wassalam

Wednesday, September 17, 2008

kemalangan dan trauma

sebenarnya, dalam tiga empat hari lepas, saya berasa amat sedih di atas kemalangan yang telah menimpa 6 pelajar sekolah kebangsaan telok kechai di jalan kuala kedah, alor star, kedah. lebih-lebih lagi kerana saya merupakan bekas yang dipertua pibg di sekolah tersebut.

ini merupakan kejadian kedua yang berlaku selepas kemalangan maut yang telah meragut nyawa seorang pelajar lelaki pada tahun 2004 yang lalu. saya telah menulis kepada yang berhormat menteri pelajaran dan jabatan pelajaran negeri di samping di dalam akhbar berita harian : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Surat/20080917001354/Article
(atau anda boleh membacanya di bawah)

saya amat berharap sesuatu dapat dilakukan bagi membantu kanak-kanak di sekolah ini. kepada keenam-enam pelajar tersebut, saya berharap kaunselor sekolah akan dapat membantu memulihkan semangat dan keadaan emosi mereka. trauma yang mereka alami pada usia yang begitu muda boleh membawa pelbagai masalah di masa hadapan jika tidak ditangani segera.

bagi mereka yang masih ingat tentang tsunami yang melanda negara kita tidak lama dahulu, kejadian kemalangan seperti ini juga boleh mebawa kesan yang sama. takut, gelisah, gemuruh, sedih , bimbang, ' re-experiencing phenomena' - di mana mereka terbayang-bayang atau berulang kali mengalami kembali peristiwa tersebut boleh berlaku. ini boleh membawa kesan yang cukup buruk kepada mereka. oleh itu peranan kaunselor , guru dan ibu bapa cukup penting bagi membendung perkara seumpama ini daripada berlaku.

wan rushidi


Keselamatan pelajar patut dianggap isu penting

KEMALANGAN jalan raya membabitkan enam murid Sekolah Kebangsaan Telok Kechai (SKTK) di Jalan Kuala Kedah, Alor Star, Kedah 14 September lalu perlu diberi perhatian serius. Untuk makluman, ia kejadian pertama dan pasti bukan yang terakhir melainkan langkah segera dapat diambil bagi membendungnya. Seperti biasa, selain menyalahkan pemandu, orang ramai, termasuk ibu bapa turut menuding jari dan menyalahkan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan sekolah kerana tidak menyediakan atau menjaga keselamatan pelajar dengan sewajarnya. Sebagai bekas Yang Dipertua PIBG SKTK, (Mac 2005 - Mac 2008), saya ingin menjelaskan keadaan. Sebenarnya isu keselamatan pelajar menjadi isu pada hampir setiap mesyuarat agung PIBG SKTK terutama pada 2005 berikutan kemalangan maut membabitkan seorang murid di tempat yang sama beberapa bulan sebelum itu.
Sehubungan itu, jawatankuasa PIBG yang baru dilantik pada tahun itu mengadakan beberapa mesyuarat khas bersama pihak sekolah, pejabat pendidikan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Polis Trafik dan Majlis Bandaraya Alor Star bagi mencari penyelesaian. Kami juga menjemput pihak wakil rakyat dan Parlimen; serta Jabatan Kerja Raya untuk tujuan sama. Malah, kami turut menyediakan cakera padat video kepada pihak berkenaan untuk memberi gambaran betapa buruknya keadaan di situ yang umpama 'bom jangka' yang menanti masa untuk meletup. Namun, hakikatnya, perkara sama terus berlaku. Hanya alasan dan janji yang terus kami terima daripada semua pihak, antaranya: l Sekolah tidak dibenarkan mengarahkan kakitangan untuk menjaga pelajar ketika melintas kerana tidak termasuk dalam bidang tugas mereka dan sekiranya sesuatu yang buruk berlaku, mereka tidak dilindungi oleh insurans.
l Sekolah juga tidak boleh mengarahkan pengawal keselamatan yang ada di situ kerana mereka bukan di bawah Jabatan Pelajaran; l Lampu isyarat yang sedia ada di antara dua sekolah (Sekolah Kebangsaan Telok Kechai dan Sekolah Menengah Tengku Laksamana) tidak boleh diubah walaupun banyak permintaan untuk berbuat demikian; l Usaha memohon jejantas sudah dilakukan tetapi jawapan yang diperoleh ialah tidak ada peruntukan dan hingga kini selepas lebih 3 tahun ia masih dikategorikan dalam perhatian; dan l Permohonan untuk mengadakan jalur kuning di hadapan sekolah untuk memperlahankan kenderaan hingga kini masih tidak mendapat sebarang tindakan daripada Jabatan Kerja Raya.
Saya amat berharap suatu tindakan proaktif dan segera dapat dibuat bagi mengatasi masalah itu terus berlaku. Tidak perlu kita berbalah atau menuding jari sekarang ini. Apa yang lebih penting ialah menyelesaikan masalah ini dengan segera.
DR WAN MOHD RUSHIDI WAN MAHMUD, Alor Star, Kedah.

Wednesday, September 10, 2008

histeria penyakit psikiatri

Assalamualaikum,

Maaf kerana telah lama tidak kemaskini blog ini. Insya Allah, saya akan cuba pastikan blog ini berjalan dengan lebih baik di masa akan datang.

Saya cukup tertarik dengan artikel dalam berita minggu baru-baru ini. Ia menjelaskan mengenai histeria melalui pandangan psikiatri .

Pakar yang ditemuramah ialah Prof Azhar Zain. Beliau merupakan boss saya semasa di USM Kubang Kerian dahulu sebelum beliau berpindah ke UPM.

Anda boleh membacanya di bawah atau layari : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Bmdua/20080907094245/Article

Selamat membaca !

Wan Rushidi



KES histeria yang menyerang pelajar sekolah di beberapa negeri sejak awal tahun ini perlukan kajian terperinci kerana jumlah kes yang dicatatkan bertambah dan kerap berlaku berbanding tahun sebelumnya. Profesor yang juga Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azhar Md Zain, berkata beliau berpendapat satu kajian khusus mengenai kes histeria di sekolah sejak kebelakangan ini perlu dibuat untuk menilai sama ada ia satu epidemik atau tidak selain melihat bagaimana ia boleh berlaku di sekolah.

Katanya, kajian juga perlu dibuat untuk melihat mengapa masih wujud kes histeria di sekolah walaupun masyarakat Malaysia kini semakin moden dan maju. Beliau menjelaskan histeria berlaku di semua negara di seluruh dunia, termasuk di Barat. Namun, bilangan kes semakin berkurangan apabila sesebuah negara itu semakin maju. Katanya, histeria adalah penyakit psikiatri yang dikenali sebagai ‘somatoform disorder’ dan dibahagikan kepada dua jenis iaitu ‘Conversion Disorder dan Dissociative Hysteria.

Conversion Disorder adalah keadaan yang mana mereka yang diserang histeria biasanya akan merasai gangguan fizikal seperti merasai badan lumpuh, buta, pekak dan bisu walaupun pada hakikatnya mereka tidak mengalami masalah berkenaan. Kebiasaannya, histeria jenis Conversion Disorder ini berlaku kerana konflik dan trauma dengan satu-satu kejadian seperti melihat saudara dirogol, kemalangan dan kematian. Dissociative Hysteria pula menyebabkan mereka yang terkena histeria akan meronta-ronta, meracau dan menjerit-jerit. Malah, ia kerap berlaku kepada kanak-kanak dan remaja akibat konflik yang tidak dapat dikawal. Prof Azhar berkata, Dissociative Hysteria kerap berlaku dalam masyarakat di Malaysia dan biasanya membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah, penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dan pekerja wanita di kilang manakala di Barat membabitkan histeria jenis Conversion Disorder .

Beliau menjelaskan kira-kira 20 tahun lalu kes histeria dilaporkan banyak berlaku di negara ini dengan kes tertinggi di sekolah berasrama, kilang dan kem motivasi serta minggu orientasi. Namun, ia mulai berkurangan dan menjadi kes terpencil dalam 1990-an. Beliau menjelaskan berdasarkan kajian terdahulu, kebanyakan kes histeria berlaku ketika musim peperiksaan di sekolah berasrama dan minggu orientasi di IPT. Dalam kes di asrama sekolah, didapati berlaku dalam minggu orientasi yang mana pelajar baru didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang meletihkan hingga mengganggu masa tidur dan rehat pelajar. Selain itu, kes histeria berkait rapat dengan kepercayaan seseorang individu terhadap perkara mistik dan karut marut seperti pelajar baru sering dimomokkan dengan cerita karut seperti ada hantu dan perkara mistik lain. “Pelajar asrama juga mudah terkena histeria kerana mereka tidak dapat mengawal konflik seperti terpaksa mengikut disiplin yang ketat di asrama selain kerinduan kepada keluarga. Dalam 1980-an, kebanyakan kes histeria berlaku di sekolah agama yang mana disiplinnya lebih tinggi berbanding sekolah biasa,” katanya. Kes membabitkan pekerja kilang, biasanya berlaku pada waktu malam. Ia dipercayai berlaku kerana pekerja keletihan tidak cukup tidur selain faktor ketakutan kerana sering mendengar cerita mengenai hantu. Kebanyakan kes membabitkan wanita kerana tahap ketakutan mereka lebih tinggi berbanding pekerja lelaki.

Prof Azhar berkata, histeria sebenarnya berlaku kerana konflik dan tekanan yang tidak dapat dibendung dan dikawal oleh individu itu dan cara mengawalnya adalah dengan memberikan bantuan bukan tekanan kepada mereka yang ada masalah atau lemah. “Mereka yang terkena histeria adalah individu yang memerlukan bantuan. Oleh itu, cara merawatnya adalah dengan memberikan bantuan kepada mereka. Cara terbaik adalah sesi kaunseling. Bagi mengelakkan ia berjangkit dan menjadi epidemik, mereka yang diserang terkena histeria diasingkan dengan orang lain,” katanya. Beliau berkata, bagi orang Islam, biasanya pengawal perubatan Islam akan memberi rawatan untuk menenangkan pesakit dengan bacaan ayat al-Quran. Begitu juga dengan agama lain, yang mana mungkin orang yang arif dalam agama mereka akan memberikan rawatan mengikut kepercayaan masing-masing. Namun, seeloknya selepas rawatan berkenaan pesakit diberikan keyakinan untuk mengawal diri dan selepas pulih pesakit diberikan sokongan seperti bertanyakan masalah dihadapi mereka.

Sementara itu, pengamal perubatan Islam, Fauzi Mustaffa, berkata histeria mengikut perspektif Islam adalah merujuk kepada keadaan yang mana manusia tidak sedar, dirasuk dan hilang ingatan akibat gangguan emosi yang tidak terkawal dan tekanan perasaan akibat masalah peribadi, rumah tangga dan kepincangan masyarakat. Katanya. ia boleh berlaku apabila seseorang itu tidak sedar diri dan syaitan mula menguasai akal fikiran mereka sehingga menyebabkan ada yang meracau, menjerit dan melakukan perkara di luar batasan manusia normal serta hilang ingatan. “Ia juga berpunca daripada gangguan emosi yang tidak terkawal yang berpunca daripada tekanan hidup, masalah rumah tangga, kepincangan masyarakat dipendam melampaui fikiran yang mana ketika itu syaitan mengambil tempat dan menyerang otak manusia. Ketika itu otak lemah dan jadi histeria,” katanya ditemui baru-baru ini. Beliau yang kerap dipanggil membantu sekolah yang menghadapi histeria, berkata, mengikut pengalamannya kebanyakan histeria berlaku menjelang musim peperiksaan. Ia berlaku kerana pelajar tertekan kerana mengulang kaji pelajaran selain tiada sokongan sebaliknya tekanan ibu bapa yang meletakkan harapan tinggi kepada mereka.

“Kerisauan dan kebimbangan ibu bapa menjadi tekanan yang akhirnya menyebabkan otak menjadi lemah dan syaitan mula menguasai sehingga berlaku gangguan. Selain tekanan ibu bapa, pada minggu peperiksaan biasanya pelajar tidur lewat kerana mengulang kaji pelajaran. Apabila kurang tidur mata mengantuk dan badan keletihan dan ada yang kurang makan menjadikan badan lemah yang membuka ruang untuk syaitan dan makhluk halus menguasai fikiran,” katanya. Beliau juga tidak menolak kemungkinan, histeria berlaku kerana manusia mengganggu tempat tinggal atau kawasan makhluk halus yang menyebabkan makhluk berkenaan ‘bertindak balas’ termasuk merasuk manusia.

Imbas kembali Kronologi kes histeria di seluruh negara tahun ini
28 Ogos 2008 KUANTAN: Kejadian histeria berulang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur membabitkan lapan pelajar perempuan selepas tiga hari sesi persekolahan bermula.
8 Ogos 2008 KUCHING: Seramai 15 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bekenu, termasuk dua lelaki, diserang histeria ketika belajar di dalam kelas bermula jam 8 pagi. KUANTAN: Kejadian histeria berulang semula di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, membabitkan 11 pelajar sehingga menyebabkan sesi pembelajaran terganggu.
7 Ogos 2008 SUBANG JAYA: Pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23, diserang histeria selepas dua hari kejadian yang sama berlaku di sekolah itu.
4 Ogos 2008 TELUK INTAN: Seramai 12 pelajar, termasuk empat lelaki, Sekolah Menengah Seri Kandi, histeria ketika mengikuti perkhemahan motivasi dan ceramah.
24 Julai 2008 KUANTAN: Sebilangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, diserang histeria dan sakit sendi hampir setiap hari, terutama menjelang tengah hari. Setiap hari hampir empat hingga lima pelajar diserang kejadian misteri itu dan mengikut laporan akhbar seramai 35 pelajar terbabit.
17 Julai 2008 NIBONG TEBAL: Seramai 10 pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kawan (SMKBK) diserang histeria di dalam kelas apabila mahu memulakan pembelajaran selepas tamat waktu rehat.
19 Jun 2008 CHERAS: Hampir 30 pelajar lelaki dan perempuan tingkatan lima di Sekolah Menengah Sains Selangor diserang histeria apabila tiba-tiba meracau, menjerit serta melukakan diri sendiri, dipercayai dirasuk makhluk halus.
24 April 2008 TAIPING: Pelajar dan guru sebuah sekolah menengah di Bukit Gantang, gempar apabila 13 pelajar diserang histeria sekembali daripada menziarahi jenazah seorang guru wanita. Pelajar tingkatan tiga dan lima itu menjerit-jerit seperti orang gila ketika mengikuti pembelajaran di kelas pada jam 11.30 pagi.
14 April 2008 SEREMBAN: Kira-kira 15 pelajar dan seorang guru perempuan sebuah sekolah menengah, dekat Sikamat, diserang histeria.
31 Januari 2008 DUNGUN: Hampir 200 pelajar perempuan dan lelaki Sekolah Menengah Sains Dungun, alami histeria menyebabkan sesi persekolahan di sekolah berasrama penuh itu terpaksa ditutup empat hari. Kejadian dipercayai bermula jam 9.30 pagi selepas seorang pelajar tingkatan dua mula menjerit sebaik tamat perhimpunan.

Monday, August 11, 2008

histeria

sejak kebelakangan ini, kita banyak mendengar cerita mengenai kejadian histeria di negara kita terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah. ramai yang beranggapan histeria adalah disebabkan oleh rasukan syaitan , iblis dan sebagainya. maka dikumpulkanlah segala bomoh, pawang dan lain-lain untuk 'mengubat' rasukan tersebut. malangnya setakat ini keberkesanan rawatan tersebut masih boleh dipertikai.
saya tidak menolak sama sekali perubatan tradisional atau yang berbentuk keagamaan dalam menangani masalah ini. jauh sama sekali. tetapi mengapa tiada yang ingin mencuba cara psikologi dan psikiatri ?
dalam perubatan jiwa, masalah histeria ini telah lama diketahui. 'mass hysteria' telah banyak berlaku di serata dunia dan bukan sahaja di malaysia. pendekatan psikologi dan psikiatri boleh membantu merawat penyakit tersebut.
kita tidak perlu menuduh hantu, syaitan dan sebagainya. ia hanya akan menyebabkan panik dan dalam histeria, inilah cara yang paling mudah untuk memburukkan keadaan. bukan juga memujuk murid supaya pindah dari sekolah yang dianggap keras atau memindahkan jin/syaitan dan sebagainya melalui bas / van.
sebaliknya kita tahu, cara yang paling mudah untuk merawat 'mass hysteria' ialah mengenalpasti mereka yang mula sekali mengalami histeria tersebut dan rawat mereka dengan segera - berasingan daripada rakan mereka yang lain. rawatan yang boleh diberikan termasuk dalam bentuk psikoterapi dan ubat-ubatan dan ini telah terbukti berkesan.
pada masa yang sama, pelajar yang lain akan secara beransur-ansur akan pulih kepada sediakala dengan mudah.
tidak ada salah , malah cukup baik jika kita turut menggunakan Quran & Hadith serta bacaaan doa. cuma jangan dimasukkan atau dicampuradukkan dengan unsur khayalan , hantu dan sebagainya yang hanya akan membantutkan proses rawatan dan pemulihan.

dr wan

Tuesday, July 29, 2008

ceramah stres

saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kerana permintaan untuk ceramah stres cukup banyak sejak kebelakangan ini. walau bagaimanapun saya terpaksa memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi semua permintaan kerana faktor masa dan komitmen saya kepada kedah medical cetre.

saya tidak mempunyai kekosongan lagi untuk bulan 8 ini dan saya tidak dapat memberi sebarang ceramah pada bulan puasa. sekiranya ada permintaan, saya hanya boleh memberi ceramah semula mulai pertengahan bulan 10/2008.

sila hubungi saya melalui e-mail yang disediakan atau sms kepada 0195962494.

terima kasih.

dr wan.

Thursday, July 17, 2008

cara menangani tekanan

setiap individu mempunyai cara yang tersendiri untuk menangani stres atau tekanan yang dialami. sesuatu cara mungkin berkesan bagi si a tapi mungkin tidak berkesan langsung kepada si b dan begitulah seterusnya.

gangguan emosi atau jiwa dalam kalangan kanak-kanak sering mengakibatkan perubahan tingkah laku - khususnya berubah perangai dari baik kepada menjadi mudah bebal , tidak mahu mengikut peraturan atau arahan, 'breaking rules' - melakukan kegiatan yang bersalahan dengan undang-undang / peraturan / disiplin dan sebagainya. kalau dikaji dengan teliti, kebanyakan tindakan yang dilakukan adalah untuk mendapat perhatian daripada orang yang tersayang - 'attention seeking behaviour'

memang jarang untuk melihat kanak-kanak yang akan berlari kepada ibu bapa dan berkata - 'mak / abah , cek stres! cek tertekan! cek tension! cek susah hati !' dan sebagainya. antara sebabnya ialah psikologi mereka yang belum terbentuk dengan sempurna. justeru janganlah harap mereka akan dapat meluahkan perasaan seperti orang dewasa.

sikap ini mungkin akan terbawa-bawa di usia remaja dan dewasa kerana itulah cara yang telah dipelajari dan diamalkan sejak daripada kecil lagi. mereka juga cukup selesa dengan cara tersebut. walaupun itu bukanlah cara yang ideal, namun bagi mereka , ia telah terbukti berkesan - jadi mengapa perlu diubah.

antara cara lain yang kurang baik untuk menangani stres / tekanan atau apabila dilanda masalah ialah
1. menyalahkan orang lain - blaming others
2. menyalahkan diri sendiri - self blame
3. mencari jalan keluarga dengan cara yang mudah - dadah, arak dan sebagainya.

ada juga mereka yang tidak berupaya menangani masalah menggunakan mekanisma pertahanan diri berikut :
1. 'somatization' - iaitu menujukkan masalah yang dialami dalam bentuk fizikal - contohnya mereka yang mengalami kemurungan sering mengadu letih, tidak bertenaga, sakit di merata tempat, berdebar , sakit kepala , sakit perut , sakit belakang dan sebagainya
2. conversion - gangguan emosi sebenarnya telah diganti atau ditukarkan kepada bentuk lain khususnya - fizikal : contohnya pelajar kolej yang tertekan dengan pelajaran dan masalah psikosial akan menjadi 'blank' semasa membuat tugasan / peperiksaan , lumpuh apabila dipukul / ditengking oleh guru dan sebagainya.

cara begini sebenarnya lebih diterima oleh masyarakat kita. sakit fizikal tidak akan membawa stigma berbanding sakit mental / jiwa. ibu bapa akan rela membawa anak-anak berjumpa doktor biasa daripada pakar jiwa. jadi model inilah yang dipelajari oleh anak-anak dan akhirnya diwarisi turun temurun.

tidak ada jalan penyelesaian yang mudah dalam hal ini. tabiat memang susah untuk diubah. seperti kata orang putih - 'old habits die hard'. kita sebenarnya perlu mengubah semua ini.

cara terbaik menangani ketegangan emosi atau kecelaruan jiwa ialah dengan mengenal pasti punca masalah dan cuba mengatasinya. meluahkan perasaan dan bijak menangani masalah adalah antara dua elemen utama. tetapi bagi saya langkah pertama dan yang paling penting ialah mengakui dan menyedari bahawa kita sedang mengalami masaalah . sebabnya - bila kita tahu kita ada masaalah --> barulah kita akan cuba untuk mencari ubat dan jalan penyelesaiannya.

kita juga perlu mencari mekanisma pertahanan diri yang lebih diterima dan berfaedah; dan mengelakkan dari kembali kepada cara lama. tumpuan kepada penyelesaian masalah dan mencari punca-puncanya adalah jauh lebih berkesan ; disamping ubat-ubat yang diberikan. rawatan psikoterapi dan kaunseling juga boleh digunakan.

Sunday, July 13, 2008

tekanan menghadapi peperiksaan

bila peperiksaan utama menjelang tiba - upsr, pmr, spm,stpm dan sebagainya - semakin ramai yang rasa tertekan. kanak-kanak dan pelajar , ibu bapa , guru dan semua mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

dalam dunia sekarang bilangan a yang diperolehi menjadi kayu pengukur.bukan pendidikan yang diutamakan tetapi keputusan peperiksaan semata-mata. yang menjadi mangsanya ialah kanak-kanak, remaja atau golongan pelajar yang terlibat.

ada yang berjumpa saya menangis teresak-esak kerana takut gagal dalam peperiksaan. takut tidak mendapat banyak a seperti yang diharapkan oleh guru dan ibu bapa. mereka tidak sanggup mengecewakan harapan keluarga , walau pun kadang-kadang mereka sendiri tahu, mereka tidak akan mampu untuk mencapainya.

stres, 'breakdown' dan gangguan emosi cukup kerap berlaku dalam kalangan pelajar sekarang. ada yang cukup teruk sehingga timbul keinginan untuk membunuh diri.

bagi saya ini adalah perkembangan yang tidak sihat. memotivasikan pelajar untuk berjaya perlu ada hadnya. perlu tahu batasannya. tapi yang paling penting, kita perlu prihatin tentang kemampuan individu terbabit. kalau biasanya dapat 30 - 40 markah, janganlah dipaksa untuk mendapat markah 90-100. naikkan sedikit demi sedikit. barulah tekanan yang dihadapi dapat ditangani dengan berkesan.

tekanan jika berlebihan boleh membawa mudarat. jika tidak diberi perhatian, pelajar terbabit akan terus hanyut. akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. kejayaan yang dicari tetapi bala pula yang menanti.

bagi mereka yang menghadapi masalah, luahkanlah kepada mereka yang tersayang. kaunselor sekolah boleh membantu. kalau ia tidak dapat diatasi, carilah mereka yang berkelayakan untuk membantu. kini telah banyak pakar psikologi dan psikiatri - carilah mereka yang berkenan dihati.

Wednesday, July 9, 2008

kanak-kanak, remaja dan masalah jiwa

ramai daripada kita menganggap gangguan jiwa hanya berlaku dalam kalangan orang dewasa. namun hakikatnya kanak-kanak dan remaja juga boleh mengalami masalah yang sama. gangguan jiwa jenis psikotik mungkin lebih jarang dibandingkan dengan masalah jenis neurotik. tetapi ia masih boleh berlaku terutama dalam kalangan mereka yang mempunyai genetic loading atau faktor keturunan yang tinggi.

secara umumnya masalah jiwa yang lebih kerap berlaku ialah gangguan emosi dan perasaan terutamanya dalam bentuk kemurungan dan kerisauan (depression and anxiety) . walau bagaimanapun simptom yang ditunjukkan mungkin berbeza. mereka jarang akan mengakui mereka sedih, bimbang, risau , tension , stres , gelisah dan sebagainnya. kerap kali ibu bapa atau guru akan dapat melihat perubahan dari segi perangai dan tingkah laku. daripada periang menjadi pendiam, daripada baik menjadi degil, agresif, sering membantah atau 'membuat perangai'. tidak kurang yang melakukan pelbagai tingkah laku yang kebanyakannya bertujuan untuk menarik perhatian mereka yang tersayang.

performance atau pencapaian akademik mereka juga boleh menjadi garis pengukur yang baik. kanak-kanak atau remaja yang bermasalah sering akan menunjukkan kemerosotan yang ketara, kurang tumpuan dan tidak dapat mengikuti proses pembelajaran dengan baik. lebih merisaukan apabila mereka beralih kepada dadah dan pelbagai kegiatan tidak bermoral lain sebagai cara untuk menghilangkan tekanan atau simptom yang dialami.

rawatan segera sebenarnya boleh membantu mengelakkan mereka dari terus hanyut dan menderita. ubat-ubatan, kaunseling dan psikoterapi adalah antara bentuk rawatan yang boleh diberikan bergantung kepada jenis dan tahap penyakit yang dialami.

Monday, July 7, 2008

takut berjumpa pakar jiwa

di mana sahaja di malaysia ini, orang cukup fobia dengan perkataan pakar jiwa. sebut saja nak berjumpa pakar jiwa, akan ada orang yang tersenyum dan ada juga yang merasakan ia sesuatu yang lucu. lebih kerap - ramai yang akan terkejut.

"betul ka?" " awat yang nak jumpa pakar jiwa tu ? hang dah gila ka?" "awat teruk sangatkah sampai nak pi jumpa doktor orang gila (lebih kerap --> doktor gila ...) ? "

ungkapan sebegini bukan sahaja datang daripada orang biasa atau orang kampung sahaja. malah ia juga datang daripada orang bandar dan mereka yang berpelajaran tinggi. jangan terkejut kalau mereka yang berada dalam kelompok profesional perubatan pun mempunyai pandangan yang sama.

selalunya bomoh , pawang , pengamal perubatan tradisional dan alternatif akan menjadi tumpuan jika mengalami masalah jiwa. bila sudah habis ikhtiar, bila dah teruk sangat atau bila pesakit dah tak boleh dikawal lagi, barulah pakar jiwa dicari. sedih kan...

pakar jiwa sebenarnya bukan hanya merawat penyakit jiwa yang serius sahaja. golongan tersebut merupakan hanya sebilangan kecil daripada pesakit yang berjumpa pakar jiwa. mereka ini kebanyakannya mengalami masalah jiwa jenis psikotik. serius tapi boleh dirawat dengan mudah terutama kalau datang awal.

lebih ramai daripada pesakit yang datang adalah mereka yang mengalami masalah:
1. kemurungan termasuk kemurungan selepas bersalin dan gila meroyan
2. kerisauan - termasuk penyakit was-was , panik, fobia dan sebagainya.
3.masalah rumah tangga
4. stres dan tekanan perasaan
5. penagihan dadah
6. masalah tidur
7. kanak-kanak seperti autisma, hyperaktif , dysleksia, lambat bertutur, kencing malam, enggan ke sekolah dan lain2.
8. nyanyuk dan perubahan tingkah laku atau personaliti selepas kemalangan.
dan macam-macam lagi.
pakar jiwa juga dapat membantu mereka yang memerlukan kaunseling, ujian psikologi dan sebarang bentuk psikoterapi.

dalam masyarakat moden,berjumpa pakar jiwa merupakan satu fenomena biasa. tiada lagi stigma seperti yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang.
ingin saya tekankan di sini, penyakit jiwa kebanyakannya boleh dirawat. dapatkan pemeriksaan awal. jangan malu berjumpa pakar jiwa. mereka juga manusia biasa. bukan doktor gila...

Friday, July 4, 2008

ceramah stres

kebelakangan ini saya banyak menerima permintaan untuk memberi ceramah mengenai stres dan kesihatan mental . oleh kerana masa yang terhad, saya terpaksa memberi keutamaan mengikut giliran.
bukannya tak sudi , tetapi saya perlu memenuhi tanggungjawab saya di kmc. kalau asyik bagi ceramah sahaja, nanti pesakit marah pula sebab tak dapat jumpa. so kena bijak bahagi masa.
berikut adalah jadual ceramah yang akan datang.
1. ceramah rtm (pukul 9.30 pagi rabu) - radio malaysia kedah - 09/07/2008
2. ceramah stres - untuk kakitangan sekolah menengah lubuk merbau - 19/07/2008 - di kmc (8.30 pagi)
3. ceramah 'stress at work' - anjuran pertubuhan kebajikan & sukan jkkp malaysia kedah/perlis di kelab cinta sayang golf and country resort, sungai petani - 26/07/2008 (2.00 petang)
4. ceramah stres - untuk kakitangan sekolah menengah pokok sena (09/08/2008 ) - 8.30 pagi di kmc
sekiranya ada yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan ini sila e-melkan permintaan anda kepada saya atau sms ke 019-5962494.

Tuesday, July 1, 2008

perkhidmatan kaunseling / psikoterapi di kedah medical centre

bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling / psikoterapi di kmc, anda boleh menghubungi nombor berikut 04-7308878.
perkhidmatan ini ditawarkan untuk semua. selalunya masa untuk satu sesi adalah antara 45 minit hingga 1 jam.
caj yang dikenakan adalah berpatutan dan mengikut kadar yang ditetapkan oleh persatuan perubatan malaysia : iaitu antara 100 - 220 bergantung kepada jumlah masa yang diperlukan.

Monday, June 30, 2008

selamat datang untuk semua

terima kasih saya ucapkan kepada pengunjung blog ini. ini merupakan post saya yang pertama. jadi boleh dikatakan hari ini dalam sejarah untuk diri saya.
cadangnya saya akan menceritakan pengalaman dan kisah menarik yang boleh kita kongsi bersama. hanya nama samaran yang akan digunakan dan tidak nama sebenar untuk memastikan kerahsiaan sentiasa dipelihara.
sekiranya ada sebarang kemusykilan, saya akan cuba membantu. walau bagaimana pun, semua ini adalah pandangan peribadi saya sendiri. saya sentiasa berpegang kepada prinsip rawatan dan pemulihan perlu dibuat secara profesional dan face to face. assessment akan lebih tepat jika kita dapat menilai in person.

profil peribadi

tempat lahir : kampung telok kechai, jalan kuala kedah , alor star kedah
tarikh lahir : 6 jun 1968.
sudah beristeri - anak 3 orang (1 lelaki , 2 perempuan)
pendidikan
sekolah rendah : sekolah kebangsaan sri amar diraja (1975) ; sekolah rendah iskandar, alor star, kedah (1975 - 1980)
sekolah menengah : maktab mahmud, alor star, kedah (1981-1983) ; kolej sultan abdul hamid, alor star, kedah (1984-1985); a-levels : abingdon school, oxford, england (1986-1988)
ijazah doktor perubatan : university college & middlesex school of medicine, london, england (1994)
ijazah sarjana kepakaran perubatan psikiatri : universiti sains malaysia (2000)
ijazah doktor falsafah - psikologi: universiti utara malaysia (2005)
pengalaman kerja
1. hospital alor star , kedah (1994 - 1995)
2.hospital kulim, kedah (1995 - 1996)
3. hospital universiti sains malaysia, kelantan (1996 - 2005)
4. kedah medical centre (2005 hingga sekarang)
jawatan lain
1. pengerusi tabika kemas kampung telok layang, jalan kuala kedah, alor star, kedah
2. pakar pelawat, program rawatan terapi gantian anjuran agensi anti dadah kebangsaan, kampung selamat, tasek gelugor, pulau pinang.

Vicerex
Vicerex